Monday 31 August 2009

Selipar Jepun dan Durian Belanda

31 Ogos, tarikh yang sentiasa dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia, mungkin. Sejak Malaysia bebas dari penjajahan British pada tanggal 31 Ogos 1957, telah banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan. Bermula dari Tunku Abdul Rahman sehingga ketua kerajaan sekarang, Datuk Seri Ahmad Najib Tun Razak, kita sama sekali tidak dapat menafikan kerajaan mampu membawa pembangunan kepada negara. Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia yang Kelima telah membawa Malaysia kepada dunia, Malaysia atau nama lamanya Tanah Melayu dulu kurang dikenali kini mampu berdiri sama tinggi dan tidak duduk sama rendah dengan negara-negara membangun yang lain. Pemerintahan Tun Mahathir dalam satu tempoh yang panjang memberi peluang kepadanya melaksanakan apa jua yang dirancangnya. Walaupun sering bertukar dan menukar penolongnya, Tun Mahathir berjaya membawa perubahan yang diingati oleh seluruh rakyat Malaysia. Namun, kenyataan ini tidaklah mahu menidakkan kemampuan pemerintah-pemerintah Malaysia yang lain, tetapi sekadar mahu menyatakan kemampuan Bapa Pemodenan ini dalam usaha membawa Malaysia ke arah perubahan. Wawasan 2020 sajalah yang akan menjadi petunjuk atau kayu pengukur kepada kesempurnaan dan keberjayaan pelaksanaan Tun Mahathir secara lengkapnya.




Namun, ada yang tidak lengkap mengenai kemerdekaan yang kita kecapi sekarang, pemikiran kita masih dijajah dan terus dijajah. Ya, ada yang sudah merdeka sepenuhnya, tetapi ramai yang belum merdeka. Apakah yang dimaksudkan dengan pemikiran dijajah? Jawapannya mudah, pemikiran kita masih mengikut penjajah kita dahulu, orang Barat. Harimau mati meninggalkan belang, British pergi meninggalkan pengaruh Barat yang tinggi. Walaupun Tanah Melayu dijajah oleh banyak kuasa Eropah, bermula dari Portugis yang menakluki Melaka pada tahun 1511, Belanda yang meninggalkan seni bina yang indah di Melaka, Jepun dengan cara yang keterlaluan dan kejam, Bintang Tiga yang menggemparkan Tanah Melayu suatu ketika dulu, British dianggap sebagai penjajah yang baik berbanding penjajah lain kerana senang berdiplomasi dengan mereka. British meninggalkan impak yang besar kepada Malaysia.Buktinya, kita masih menggunakan undang-undang Barat dan perlembagaan Barat. Contoh lain, Ahad sebagai cuti mingguan. Kita isytiharkan negara kita sebagai negara Islam, tapi masih meninggalkan undang-undang Barat. Jadi, negara Islamkah kita? Berbalik kepada pemikiran kita, jelas, terang dan lagi tersuluh, kita masih dijajah. Kita tidak pernah rasa untuk mengubah pemikiran kita, kerana kita terlalu selesa dengan kondisi kita sekarang. Kita lihat sejarah Rusia, suara rakyat mampu menumbangkan kuasa Soviet Union dan mengubah sistem pentadbiran komunis kepada demokrasi. Suara kita bukan hanya untuk demonstrasi jalanan, tetapi suara untuk mengubah diri kita sendiri. Kita tidak dapat tidak perlu mengubah pemikiran kita. Ya, kita tidak mengubah istilah selipar jepun kepada selipar Melayu, durian belanda kepada durian Malaysia dan Mat Saleh kepada Mohd Salleh, tapi, kita ubah fikiran kita, boleh berfikir secara Barat, tetapi jangan sampai pemikiran cara tersebut mengubah diri kita. Kita mana mungkin mampu berubah secara drastik. tapi ubahlah secara perlahan. Janganlah kita burukkan nama baik negara kita.






Akhirnya, post kali ini sebenarnya bertujuan untuk membuka mata hati kita semua untuk kita berubah. Tiada sempurna merdeka sekiranya diri masih dijajah. Biar kita jadikan perjuangan perwira-perwira kita berbaloi. Pada kesempatan ini juga, ingin mengajak kepada semua pembaca blog atapnipahbocor ini supaya kita sama-sama berubah, selama kemerdekaan yang sudah mencapai 52 tahun ini. Merdekakan diri kita daripada Barat. Menariknya, tarikh kemerdekaan kita sama dengan Kyrgyzstan, sebuah negara bekas jajahan Soviet Union.

Salam Kemerdekaan ke 52.....
Merdeka!!!!!!!


.......diinspirasikan daripada teman sebilik, ajoy, pian, am, mun dan fahkri. Tak lupa juga Sam, Mika dan Sanjar(kyrgyzstan mari!! hehe).....

Shukron.....


No comments:

Post a Comment